Wayang

Malam tadi (7 Februari), aku telah pergi menonton cerita Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit nun di Bukit Tinggi, Klang. Sebenarnya, aku ternanti-nanti untuk menonton filem ini yang merupakan sekuel kepada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Ada wartawan yang telah membuat ulasan berkenaan filem ini di sini. Kredit kepada saudara Mohd Al Qayum Azizi yang menyediakan ulasan tersebut. Antara ulasannya adalah :

Mamat mengambil langkah bijak apabila menggunakan sepenuhnya pelakon-pelakon yang diambil dan memastikan setiap watak menyerlah dalam cara mereka tersendiri.

– OK.

Dari segi lawak jenaka yang ditampilkan, Mamat nyata tidak mengulangi formula lalu yang telah mencipta kejayaan besar buatnya sebaliknya menampilkan komedi baru supaya penonton tidak bosan.

– Pada aku, ada sikit-sikit lawak yang masih dicedok dari Hantu Kak Limah Balik Rumah, tapi sikit sangat. Jangan risau, anda masih mampu terhibur dengan lawak yang diketengahkan.

Jika diteliti dengan baik, ia sebenarnya sarat dengan pelbagai maksud tersirat dan pengajaran menerusi paparan kehidupan bermasyarakat.

– Mungkin aku kena tengok lagi baru dapat teliti satu-persatu mesej-mesejnya. Sekali imbas, ada yang kita dapat tangkap maksudnya. Ada juga yang memerlukan pemerhatian dan mungkin juga sedikit kajian untuk memahami mesej yang tersirat itu.

Dengan memasukkan elemen kisah dongeng dan amalan tahyul di kalangan masyarakat dengan pelbagai peristiwa lucu, Mamat berjaya menghidupkan jalan ceritanya dengan baik selain gelagat penduduk kampung itu.

– Anda perlu tonton dan lihat sendiri apa amalan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, kekurangan pada filem ini mungkin terletak kepada jalan ceritanya yang terlalu meleret sehingga menyebabkan penonton bosan.

– Tak dapat dinafikan, filem ini agak sedikit meleret (bagi aku). Mujur tak berapa sempat nak bosan.

Secara keseluruhannya, Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit kekal membawa penonton terhadap nostalgia bersama dua sirinya yang lalu dan elemen klasik seperti tajuk dan pemilihan lagu dalam filem ini mampu membawa kenangan lalu kepada penonton.

– Rasanya, salah satu lagu klasik itu pernah menjadi isu satu ketika dulu. Aku percaya, babak menggunakan lagu itu merujuk kepada isu yang pernah dibangkitkan itu. Apapun, lagu ‘pelik’ yang dipilih memang akan terngiang-ngiang di telinga anda untuk seketika waktu.

Pendek kata, filem ini memang menyentuh ragam dan mentaliti masyarakat kita melalui mesej-mesej nyata dan tersembunyinya. Yang paling utama, hindarkan amalan meminta-minta sesama makhluk tetapi mintalah kepada Tuhan Yang Satu, Allah S.W.T..  Satu lagi, buat pilihan yang tepat dan usah dikelirukan oleh anasir-anasir asing.

p/s : macam nak tengok lagi…

Tinggalkan komen