Wayang

Malam tadi (7 Februari), aku telah pergi menonton cerita Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit nun di Bukit Tinggi, Klang. Sebenarnya, aku ternanti-nanti untuk menonton filem ini yang merupakan sekuel kepada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Ada wartawan yang telah membuat ulasan berkenaan filem ini di sini. Kredit kepada saudara Mohd Al Qayum Azizi yang menyediakan ulasan tersebut. Antara ulasannya adalah :

Mamat mengambil langkah bijak apabila menggunakan sepenuhnya pelakon-pelakon yang diambil dan memastikan setiap watak menyerlah dalam cara mereka tersendiri.

– OK.

Dari segi lawak jenaka yang ditampilkan, Mamat nyata tidak mengulangi formula lalu yang telah mencipta kejayaan besar buatnya sebaliknya menampilkan komedi baru supaya penonton tidak bosan.

– Pada aku, ada sikit-sikit lawak yang masih dicedok dari Hantu Kak Limah Balik Rumah, tapi sikit sangat. Jangan risau, anda masih mampu terhibur dengan lawak yang diketengahkan.

Jika diteliti dengan baik, ia sebenarnya sarat dengan pelbagai maksud tersirat dan pengajaran menerusi paparan kehidupan bermasyarakat.

– Mungkin aku kena tengok lagi baru dapat teliti satu-persatu mesej-mesejnya. Sekali imbas, ada yang kita dapat tangkap maksudnya. Ada juga yang memerlukan pemerhatian dan mungkin juga sedikit kajian untuk memahami mesej yang tersirat itu.

Dengan memasukkan elemen kisah dongeng dan amalan tahyul di kalangan masyarakat dengan pelbagai peristiwa lucu, Mamat berjaya menghidupkan jalan ceritanya dengan baik selain gelagat penduduk kampung itu.

– Anda perlu tonton dan lihat sendiri apa amalan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, kekurangan pada filem ini mungkin terletak kepada jalan ceritanya yang terlalu meleret sehingga menyebabkan penonton bosan.

– Tak dapat dinafikan, filem ini agak sedikit meleret (bagi aku). Mujur tak berapa sempat nak bosan.

Secara keseluruhannya, Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit kekal membawa penonton terhadap nostalgia bersama dua sirinya yang lalu dan elemen klasik seperti tajuk dan pemilihan lagu dalam filem ini mampu membawa kenangan lalu kepada penonton.

– Rasanya, salah satu lagu klasik itu pernah menjadi isu satu ketika dulu. Aku percaya, babak menggunakan lagu itu merujuk kepada isu yang pernah dibangkitkan itu. Apapun, lagu ‘pelik’ yang dipilih memang akan terngiang-ngiang di telinga anda untuk seketika waktu.

Pendek kata, filem ini memang menyentuh ragam dan mentaliti masyarakat kita melalui mesej-mesej nyata dan tersembunyinya. Yang paling utama, hindarkan amalan meminta-minta sesama makhluk tetapi mintalah kepada Tuhan Yang Satu, Allah S.W.T..  Satu lagi, buat pilihan yang tepat dan usah dikelirukan oleh anasir-anasir asing.

p/s : macam nak tengok lagi…

Amalan sunnah sambut ‘Idulfitri dan Syawal

Bukanlah sebenar-benar raya itu bagi yang memakai pakaian baru..tetapi sebenar-benar raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya terus bertambah

Bukanlah sebenar-benar raya itu bagi yang berhias-hias dengan pakaian dan kenderaan..tetapi sebenar-benar raya itu adalah bagi yang diampunkan dosa-dosanya

Bukanlah sebenar-benar raya itu bagi yang memperolehi dinar juga dirham..tetapi sebenar-benar raya itu bagi yang mentaati Allah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun…

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkara seperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.

Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin (orang yang bertakwa).

Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.
“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.”

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

• Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

• Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

• Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

• Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.”

• Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

• Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.

Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak.

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.”

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h.

Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

sumber : Masjid Bukit Indah, Ampang & Pondok Pasir Tumboh (diringkaskan daripada buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari).

p/s : Salam ‘Idulfitri.

Rejab

pejam celik pejam celik, sekarang dah bulan Rejab. pantas masa yang berlalu. ‘rumah’ ni pun dah bersawang balik. eheh. sindrom kesibukan kerja dan kemalasan untuk mengemas ‘rumah’ melanda.

apa pun, dengan kedatangan bulan rejab, ini bermakna kita juga semakin hampir dengan bulan Ramadhan. bagaimana persediaan bulan Ramadhan kita? orang kita kini lebih mementingkan persiapan Syawal berbanding Ramadhan. sudah ada kedengaran iklan di radio yang mempromosikan persiapan awal Syawal. awalnya…

berbalik kepada bulan Rejab, di sini aku nak salin & tampal beberapa persoalan tentang amalan pada bulan Rejab.

Bulan Rejab

Soalan:
Kita sering mendengar dari para khatib solat Jumaat – khususnya tiap permulaan bulan Rejab – berbagai hadis diriwayatkan mengenai keutamaan bulan tersebut dan mengenai pahala besar yang dijanjikan Allah bagi orang yang berpuasa dalam bulan tersebut walau hanya sehari. Di antara hadis-hadis itu ialah: “REJAB ADALAH BULAN ALLAH, SYA’BAN BULANKU DAN RAMADHAN BULAN UMMATKU.”Bagaimanakah pendapat ustaz mengenai hadis-hadis seperti itu? Apakah isi hadis tersebut dipandang benar (sahih)?
Apakah hukumnya bagi orang yang menyampaikan kepada orang ramai hadis-hadis palsu dan dikatakannya berasal daripada Rasulullah SAW?

Jawab: (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi)
Tidak ada riwayat yang benar mengenai bulan Rejab selain yang menerangkan bahawa bulan tersebut termasuk empat bulan yang disebut Allah SWT dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, menurut ketetapan Allah pada waktu Allah menciptakan langit dan bumi, di antaranya adalah empat bulan yang suci..” (Surah Al-Taubah: 36)

Empat bulan itu ialah: Rejab, Zulqa’idah, Zulhijjah dan Muharram. Tidak ada hadis sahih menyebutkan kekhususun bulan Rejab sebagai bulan yang mempunyai keutamaan. Yang ada hanyalah hadis hasan (baik) yang menyebutkan: Bahwasanya Rasulullah SAW BANYAK berpuasa dalam bulan Sya’ban. Ketika dbeliau ditanya mengenai hal itu, baginda menjawab:

“Bulan itu (Sya’ban) ialah bulan yang (sering) dilupakan orang (iaitu) antara Rejab dan Ramadhan.”

Dari hadis tersebut dapat diambil pengertian bahwa bulan Rejab mempunyai keutamaan.

Adapun hadis yang menyebut: “REJAB ALLAH BULAN ALLAH, SYA’BAN BULANKU DAN RAMADHAN BULAN UMMATKU.” Adalah hadis munkar (hadis yang sama sekali tidak dapat dipercayai kebenarannya kerana diriwayatkan oleh seorang yang terkenal berkelakuan buruk dan tercela) dan sangat dhaif (sangat lemah). Bahkan banyak ulama’ yang menilainya sebagai hadis maudhu’ (palsu) dan tidak bernilai sama sekali, baik dilihat dari sudut ilmu mahupun agama. Demikian juga hadis-hadis lain yang diriwayatkan orang mengenai fadhilat bulan Rejab, seperti; Barangsiapa solat begini dan begitu, dia memperoleh pahala sekian, sekian. Barangsiapa beristighfar satu kali, dia beroleh pahala sekian, sekian…….! Semua itu merupakan hal yang sangat melebih-lebihkan dan jelas merupakan satu kepalsuan.

Yang terbaik ialah berpuasa beberapa hari dan tidak berpuasa beberapa hari, tidak berturut-turut tanpa putus-putusnya. Sebagaiman telah saya (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi) sebutkan pada bab terdahulu: Mengikut Jejak Salaf Adalah Kebaikan, dan Merekacpta Ibadah Adalah Keburukan. Oleh kerana itu sesiapa yang mengikuti jejak yang benar dan menginginkan pahala yang sempurna hendaklah dia mengikuti jejak Rasulullah SAW. Beliau tidak berpuasa sebulan penuh dalam bulan Rejab dan tidak pula dalam bulan Sya’ban.

Puasa Bulan Rejab

Soalan:
Pada suatu hari saya pernah mendengar Ustaz (Al-Syeikh Dr. Yusoff) berbicara tentang bulan Rejab. Ustaz mengatakan bahawa mengenai itu tidak ada hadis sahih yang berasal daripada Rasulullah SAW. Jadi bagaimanakah hukumnya puasa bulan Rejab? Apakah itu termasuk sunnah ataukah bid’ah?

Jawab: (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi)
Saya tidak pernah mengemukakan masalah puasa bulan Rejab dalam kuliah saya yang didengar oleh saudara. Yang saya katakan ialah bahawa bulan Rejab termasuk empat bulan hurum (bulan mulia/diharamkan berperang padanya), dan berpuasa di dalam bulan-bulan hurum ini adalah maqbul (diterima) dan mustahab (dibolehkan). Tidak ada riwayat yang berasal daripada Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa beliau berpuasa sebulan penuh, selain dalam bulan Ramadhan. Dalam bulan-bulan hurum itu Rasulullah SAW paling kerap/sering berpuasa di dalam bulan Sya’ban, tetapi tidak sebulan penuh. Itulah sunnah Nabi SAW. Dalam masa empat bulan itu beliau ada kalanya berpuasa dan ada kalanya tidak, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud:

“Beliau berpuasa hingga kami katakan (sangka) bahawa beliau tidak berbuka-buka. Dan beliau berbuka sehingga kami katakan (sangka) beliau tidak berpuasa-puasa.”

Kini, ada orang yang dalam bulan Rejab berpuasa sebulan penuh, seperti yang kita lihat dahulu di beberapa tempat. Saya (Al-Syeikh Dr. Yusoff al-Qardhawi) pernah menyaksikan sendiri ada sejumlah orang yang berpuasa terus-menerus selama bulan-bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Bahkan ditambah lagi dengan berpuasa enam hari pada permulaan bulan Syawal iaitu hari-hari yang mereka namai “Hari-hari Putih” (Ayyamul-Bidh). Setelah itu barulah mereka berhenti puasa. Mereka berhari raya pada tanggal 8 Syawwal, sebab pada tanggal 1 Syawal mereka tidak berpuasa. Tegasnya ialah mereka berpuasa terus-menerus selama tiga bulan dan eman hari. Hanya satu hari saja (1 Syawal) mereka tidak berpuasa. Berpuasa secara demikian itu tidak berasal daripada Nabi SAW, tidak berasal daripada para sahabat Nabi dan tidak pula berasal daripada kaum salaf yang soleh.

kesimpulannya, kekal beramal seboleh yang kita termampu.

p/s : pantasnya masa berlalu meninggalkanku… (petikan lirik 7 Hari – Rabbani)

Demam

Awas! Peringatan ini diberikan oleh World Health Organization (WHO). Berwaspadalah! Sejenis wabak baru akan melanda dunia yang kita diami ini dari utara ke selatan, timur ke barat sehinggalah ke Malaysia tanpa terkecuali.

Secara am, individu yang dijangkiti wabak ini akan mengalami simpton-simpton yang hampir sama iaitu demam diikuti keletihan, sakit tekak, kadang kala hilang suara dan tidak bermaya langsung kerana kesukaran untuk tidur.

Wabak berbahaya ini adakalanya boleh menjangkiti individu yang berhubung rapat dengan pesakit kronik yang diserang virus ini. Namun begitu, wabak ganas ini jarang menyerang mereka yang mempunyai antibody (imunisasi) yang kuat. Sikap berhati-hati amat perlu!

Menurut laporan tidak rasmi WHO, demam akibat wabak ini pernah meragut nyawa manusia. Pengumuman serentak dibuat WHO ini bagi mengingatkan semua Negara di dunia supaya mengambil langkah-langkah pencegahan penularan wabak yang disifatkan bertaraf mega.

WHO mengingatkan demam mega ini akan melanda seluruh dunia secera serentak dan kesannya belum dapat dipastikan. Virus ini merebak melalui ruang udara.

Individu yang pernah dijangkiti demam ini biasanya akan lebih mudah dijangkiti semula virus berbahaya ini. WHO mengingatkan individu yang biasa diserang virus demam ini supaya membuat persediaan lebih awal bagi menangani wabak.

Peringatan WHO pula, bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti demam ini, anda dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan dijangkiti. Wanita tidak terkecuali. Penularan wabak ini setakat ini belum ada penawar yang betul-betul berkesan membasminya.

Vaksin lama nyata gagal berfungsi akibat sudah imun dengan virus berkenaan. Kesan sampingan demam ini pula akan meningkat dari sehari ke sehari sehinggalah sampai ke tahap kronik.

Kemuncaknya, menyebabkan pembawa virus ini hamper-hampir lumpuh, tidak dapat bergerak bebas. WHO mendapati, mangsa virus ini kadangkala terjelopok, terkedang sehari-harian tanpa dapat dibantu.

Pada tahap kritikal ini, individu yang mempunyai pengalaman di serang wabak, akan mendapati purata suhu demam akan menurun dengan kadar serta merta dan beransur-ansur pulih selepas melepasi puncak wabak.

WHO bagaimanapun memberi amaran keras kepada mereka yang baru pertama kali dijangkiti demam ini, terutamanya yang mempunyai masalah jantung.

Virus ini secara alaminya memaksa jantung pesakit bekerja dengan lebih kuat. Sekiranya tidak berhati-hati, jantung pesakit demam ini akan terhenti serta-merta.

Kementerian Kesihatan telah memberi peringatan kepada hospital-hospital kerajaan dan swasta yang menguruskan pusat rawatan wabak ini supaya bersedia menerima limpahan pesakit.

Menurut laporan WHO, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjwab mengambil kesempatan mengaut keuntungan segera di tengah-tengah situasi wabak baru melanda dunia sekarang.

Sentiasalah mengambil sikap selalu berjaga-jaga kerana wabak ini boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, status dan jantina.

Secara saintifiknya, wabak ini mempunyai nama tersendiri mengikut negara yang memulakan virus ini. Bermacam-macam nama diberikan, tetapi di Malaysia demam ini dikenali sebagai……

…….Demam bola sepak Piala Dunia.

Untuk makluman pembaca, demam kali ini bermula di Afrika Selatan. Setiap hari media massa di seluruh dunia termasuk swasta dan kerajaan memaparkan bilangan hari yang dinanti-nantikan sebilangan peminat fanatic bola sepak ini.

RTM 1 dan 2 tidak terkecuali turut turun gelanggang bagi membolehkan peminat yang tidak berkemampuan melanggan saluran Supersport ASTRO.

Kesan demam bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika kali ini belum dipastikan. Berapa ramai yang akan bersekang mata sampai ke pagi, ponteng kerja, MC dan EL tidak dapat diramalkan.

Secara ringkasnya, rakan karib anda yang demam bola sepak akan mengajak bersama-sama menonton di restoran-restoran mamak yang beroperasi 24 jam dengam menyediakan skrin gergasi bagi menarik pelanggan.

Sekiranya anda tidak berminat dengan bola sepak, syabas diucapkan kerana termasuk senarai mereka yang memiliki imunisai yang kuat. 

—Disalin dari Majalah Mastika Edisi Jun 2010

p/s : ramai la yang demam nampaknya…

Pergi…

KUALA LUMPUR 2 April – Pelawak popular dan penyampai radio Era, Mior Ahmad Fuad Mior Badri meninggal dunia di Hospital Selayang, lewat malam tadi.

Allahyarham yang dikenali sebagai Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) pukul 12.30 malam.

Menurut adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, semua ahli keluarga berada di sisi Allahyarham kecuali ayahnya yang tidak dapat hadir.

Katanya, Allahyarham meninggal dunia akibat demam denggi berdarah yang menyebabkan beberapa organ badannya gagal berfungsi.

‘‘Jenazah abang saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong di sini sebelum solat Jumaat,’’ katanya ketika ditemui di hospital itu, malam ini.

sumber – utusan online (terkini).

tiada lagi riuh beliau di pagi hari bekerja. sebabnya, aku selalu mendengar celoteh beliau bersama regunya di radio ketika aku memandu ke tempat kerja.

dan kebetulannya, ada pemanggil radio mengingatkan kita kembali, ketika pertandingan akhir sebuah rancangan mencari bakat penghibur komedi, beliau secara berseloroh memberitahu mahu meletak jawatan sebagai penyampai radio tempat beliau bertugas dan meminta peserta yang beliau komen itu untuk menggantikan tempat beliau bertugas.

Al-Fatihah…

p/s : giliran kita bila lagi?